Hari ni cikgu tak sempat nak kongsi cerita.. Penat tu biasa, Ikhlaskan diri mu...
Cikgu ingat tentang teori adler yang cikgu nak cerita hari tu kan tapi belum sempat la, minta maaf banyak-banyak.
Ok.. hari ini cikgu nak kongsikan satu cerpen nukilan cikgu yang pernah cikgu hantar untuk pertandingan sempena hari guru Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.. Alahai lama dah tau tahun 2008. Inilah cerpennya ;
TERIMA
KASIH CIKGU
Tuk… Tak… Tuk… Tak…
“She is coming… she is
coming…,” jerit Tai Fook perlahan dalam pelat Cinanya yang seakan-akan menyebut
kambing. Aku dan rakan-rakan sekelas secepat kilat duduk di tempat
masing-masing, ada yang kelam-kabut menyusun buku-buku yang berserakan di atas
meja. Tidak kurang juga yang mengajuk Tai Fook dengan pelat Cinanya. Beginilah
gelagat pelajar Lima Sains tatkala kedengaran bunyi tapak kasut tumit tinggi
Cikgu Fatimah, guru mata pelajaran Biologi.
Cikgu Fatimah memang digeruni
pelajar-pelajar Lima Sains kerana ketegasannya dan suaranya yang lantang.
“Jangan tunjuk pandai, kalau tak nak belajar tak payah datang sekolah,” jerit
Cikgu Fatimah sambil melempar buku salah seorang pelajar kelas kami. Silap hari
bulan bukan jeritannya sahaja boleh didengari sejauh satu blok, malah buku yang
dilempar boleh jatuh dari tingkat dua ke longkang tingkat bawah. Pelajar yang
tidak menyiapkan kerja rumah pula, ada dendanya. Henjut 100 kali merupakan
denda yang sangat popular bagi kami terutama pelajar lelaki termasuk aku.
Sewaktu
emak kejutkan bangun subuh pagi tadi, aku katakan aku sakit perut dan pening
kepala. Tapi
dengan ayah, renungan matanya sahaja cukup membuat lidahku kelu seribu bahasa.
Aku tekad tidak mahu ke sekolah hari ini kerana nak siapkan nota Biologi Cikgu
Fatimah. Peristiwa pagi semalam masih basah dalam ruang ingatan ini, “Fairus,
sikap kamu betul-betul buat saya geram. Kerja rumah jarang sekali nak hantar,
nota kalau buat tak apa, ini dah sampai bab struktur tulang kamu baru siap nota
bab peredaran darah. Kalau tak mahu belajar, tak payah susahkan mak ayah
belanja sekolah, pergi cari kerja lagi bagus,” bebelan cikgu Fatimah dan tanpa
disedari buku nota ku melayang ke luar bilik darjah. Sekarang nota Biologi
sudah ku siapkan. Ku renung hasil kerja ku dari pagi hingga petang… Yes!!! Aku
yakin dapat pujian kali ini.
Apa yang ku harapkan hanya
tinggal impian. “ Fairus! Kalau dah tak tahu tu, bertanya. Jangan nak buat suka
hati kamu. Lagak awak ni tak kena tempat.” Sekali lagi buku notaku melayang
tapi kali ini tidak sekuat mana mungkin hanya kesalahan nota tidak lengkap.
Terkebil-kebil biji mataku dibebel Cikgu Fatimah. Pujian yang ku nantikan
herdikan yang ku terima Tiba-tiba pintu bilik darjah kami di ketuk. Semua
pelajar memandang ke arah Marry, tukang sapu sekolah kami. Di tangannya ku
lihat buku notaku yang berdebu. Rupa-rupanya buku itu telah melayang dan jatuh
di atas sampah sarap yang sedang disapu Marry tukang sapu sekolah kami. Aku
terus mengambil buku itu dengan diiringi renungan Cikgu Fatimah. Maluuuu… malu
semalu malunya…..Itulah perasaan
bujangku yang tercabar. Rakan-rakan ku yang lain hanya mampu memandang
dengan simpati. Di benakku tertanya, kenapa Cikgu Fatimah benci sangat dengan
aku?..
Semasa sedang menunggu bas
pulang dari sekolah, kawanku Arsyad mengingatkan tentang latihan bola sepak
pada jam empat petang itu. Aku merupakan pemain penyerang pasukan bola sepak
sekolah. Tahun lalu, aku telah merangkul gelaran penjaring terbanyak semasa
mewakili pasukan sekolah di peringkat daerah. Aku juga telah terpilih menjadi
salah seorang pemain pasukan negeri. Bola sepak adalah nadi hidupku dulu, kini
dan selamanya. Boleh dikatakan hampir setiap petang aku akan ke padang sekolah
untuk bermain dan berlatih bersama rakan sepasukan. Tahun lalu aku memang
menumpukan sepenuh perhatian terhadap bola sepak maklumlah ‘honeymoon year..’
Bak kata orang putih.
Tahun ini aku akan menduduki
peperiksaan besar SPM. Kata Cikgu Faezah, aku patut memberi tumpuan lebih
kepada pelajaran. Kata Cikgu Aisyah, guru kaunseling sekolah ku semasa
perhimpunan mingguan sekolah, tumpuan pada pelajaran perlu diberikan sepanjang
masa terutama dalam kelas dan ia dilakukan secara berterusan. Kelas tambahan
petang sebenarnya telah diberikan sejak tahun lalu bagi kelas sains. Tapi aku
Cuma mampu menghadiri sepertiga kelas tambahan yang dijalankan kerana latihan
bola sepak lebih mengujakan bagiku.
Bila terkenangkan kelas
tambahan tahun lalu, baru ku ingat… Hari ini ada kelas tambahan Cikgu Fatimah
jam tiga setengah petang. Tapi latihan bola sepak petang ini adalah untuk
pemilihan wakil sekolah dan Cikgu Nasaruddin mahu merombak semula pasukan tahun
lalu. Sepanjang perjalanan pulang aku memikirkan keputusan yang harus aku
buat.. Biologi atau bola sepak…
JENG... JENG.. JENG.. APAKAH YANG AKAN TERJADI SELEPAS INI?? ADAKAH FAIRUS AKAN MEMILIH BIOLOGI ATAU BOLA SEPAK ????
NANTIKAN SAMBUNGANNYA ....
1 ulasan:
SMKSS 1989 - 1993 dalam kenangan. CERPEN ini didedikasi Buat Pn Siti Fatimah Pilus dan Datin Faezah (Mentor).
Catat Ulasan