Disini bermula sebuah cerita...

Disini bermula sebuah cerita...

Isnin, 14 September 2015

Sambungan Cerpen Bahagian Akhir...

Assalamualaikum,

Penatnya cikgu rasa, maklum baru balik dari Pulau Tioman. Cuti 2 hari pun nak berjalan sakan... Kesannya sakit2 badan.

Cikgu gagahkan juga menghadap laptop ni... untuk menghabiskan cerpen TERIMA KASIH CIKGU.

Inilah kesudahan Kisah Fairus dalam TERIMA KASIH CIKGU...



Sepanjang di UPM, peserta kem di ajar teknik belajar, cara membuat nota, mengurus masa, membina matlamat dan membuat perancangan masa depan. Kami juga dibawa melawat bilik-bilik kuliah, dewan peperiksaan yang besar yang juga menjadi dewan konvokesyen pelajar UPM. Tempat riadah sewaktu petang kami sangat menarik dengan bukit menghijau, kolam-kolam ikan, ladang ternakan dan kebun sayuran. Tidak ketinggalan juga kami dibawa melawat ke kem askar Wataniah di mana sebilangan pelajar UPM menjadi pelatihnya dan banyak kelebihan yang mereka perolehi. Hati ku ada terdetik sungguh seronok jika dapat menjadi pelajar di UPM ini. Fasilitator kami mengingatkan dapatkan keputusan yang terbaik semasa SPM merupakan tiket untuk menjejakkan kaki sekali lagi ke UPM, bukan sebagai peserta kem tetapi sebagai pelajar.

            Sepanjang perjalanan pulang dari kem motivasi, aku termenung memikirkankan kata-kata fasilitator semasa bengkel dan sepanjang program. Aku pernah ponteng kelas, aku pernah marah cikgu, aku pernah dendam cikgu dan aku pernah abaikan nota dan latihan yang cikgu beri. Tanpa ku sedari semua yang aku lakukan seakan aku tidak menghormati emak dan ayah, menolak harapan dan impian mereka. Aku pernah cuba hisap rokok hanya kerana dicabar Azlan rakan sepasukan bola sepak sedangkan aku tahu bahaya serta kesan rokok kepada kesihatan dan fungsi otak.Semua itu aku tahu dari Cikgu Fatimah. Ah!!! Nama itu lagi…Tapi tidak dinafikan kerana maklumat yang Cikgu Fatimah beri semasa kelas Biologi menyebabkan aku takut untuk mencuba buat kali kedua dan seterusnya. Bukan apa, aku takut stamina bermain bola sepak akan kurang.
 
            Hari pertama persekolahan selepas cuti penggal pertama membuat jantung bedegup lagi. Keputusan peperiksaan akan diumumkan guru kelas hari ini. Cikgu Norlia guru kelas kami menyerahkan buku rekod setiap pelajar. Tanpa berlengah aku buka untuk melihat… Ya Allah, dua mata pelajaran sahaja yang mendapat kepujian, enam lulus dan dua lagi gagal. Apa reaksi ayah dan emak bila tahu berita ini. Aku ingat janjiku pada ayah tempoh hari.  

Waktu kelas Biologi tengah hari tadi, aku lihat Cikgu Fatimah tidak seperti selalu. Dia tidak banyak membebel, selepas menyemak semula kertas jawapan peperiksaan kami disuruh membuat pembetulan. Dia hanya memantau kami dari meja ke meja. Aku rasa pelik dengan sikapnya. Sebelum kelas tadi aku yakin yang dia pasti mencampakkan kertas peperiksaanku ke muka atau ke mana saja sebab akulah satu-satunya pelajar yang gagal mata pelajaran Biologi. Sebaliknya aku jadi tergamam apabila Cikgu Fatimah dengan lembut menepuk bahuku dari belakang sambil meminta aku bertemu dengannya lepas rehat di bilik guru. Sememangnya aku tunggu saat ini untuk ku ajukan soalan-soalan yang sudah berat di kotak fikiran.

“Fairus, apa yang awak tak puas hati dengan saya? Kenapa awak gagal Biologi? Awak Tak suka saya ajar awak ye?” begitulah pertanyaan yang Cikgu Fatimah ajukan bertubi-tubi. Aku tidak terus menjawab. Malah aku pula dengan berani menyoal Cikgu Fatimah dengan soalan-soalan yang selama ini ku simpan. Cikgu Fatimah seakan terkejut dan merenung muka ku dengan renungan penuh makna. Aku cuba menterjemah tapi tidak pasti maksudnya. Aku lihat seakan ada senyuman nipis dibibirnya. Dia menjelaskan duduk perkara sebenar kenapa dia melakukan semua itu kepada ku sambil menarik tangan ku supaya duduk di kerusi di hadapannya. Katanya walaupun aku sibuk dengan bola sepak, aku mampu bersaing dengan rakan sekelas dan kerana itu dia mahu aku lebih tumpuan dalam pelajaran semasa di tingkatan lima agar aku dapat keputusan yang terbaik dalam SPM. Berbagai cara dia cuba menyedarkan aku sehinggalah dia berjumpa dengan ayah pada petang itu. Cuba bayangkan jika aku pandai mengatur masa untuk bermain dan belajar, tidak ponteng kelas dan tumpuan sepenuhnya dalam kelas dari seawal tingkatan empat, pasti keputusan aku hari ini lebih baik. Begitulah bayangan yang cikgu Fatimah gambarkan dimindaku.

Semalaman aku memikirkan kata-kata Cikgu Fatimah. Di manakah kebenaran kata-katanya? Apakah ada maksud lain yang hendak di sampaikan kepada aku? Kata-kata akhir Cikgu Fatimah semasa kami berjumpa tadi betul-betul mencabar aku. “Buktikan pada saya yang awak akan berjaya dalam peperiksaan SPM nanti,” begitulah katanya. Aku malam ini seakan cacing kepanasan. Pusing kanan tidak kena, pusing kiri tidak selesa. Pejam mata terbayang wajah Cikgu Fatimah sedang marah, senyum, masam silih berganti. Ini buat aku terus bangun, duduk dibirai katil dengan semangat yang membara dengan jiwa yang tercabar, aku tanpa sedar memasang azam.

Pagi ku hari ini amat berbeza, aku mula bertekad untuk melaksanakan azamku. Aku mahu jadi orang yang berjaya kepada keluarga, agama dan bangsa. Aku mahu buktikan pada semua cikgu bahawa Fairus bin Shah bukan pelajar yang bodoh sombong, yang malas dan yang selalu menyakitkan hati. Kepada Cikgu Fatimah, aku akan buktikan, pelajar yang cikgu benci ini akan berjaya. Kepada cikgu Nasaruddin, aku akan berbincang untuk mengurangkan penglibatan aku dalam pasukan bola sepak. Tarik diri dari pasukan sekolah rasanya tidak tapi mungkin waktu latihan aku akan kurangkan. Sukan juga penting untuk badan dan otak. Badan cergas, otak cerdas.

Mak dan ayah selalu berpesan sebagai anak sulung aku perlu menunjukkan contoh kepada adik-adik. Aku perlu buka minda mereka dengan jalan menuju ke manara gading. Tapi… mampukah aku?

Masa terus berlalu, peperiksaan SPM tidak sampai dua bulan lagi. Pernah satu ketika aku hampir lari dari rumah, ponteng sekolah dan hisap rokok kerana hebatnya tekanan peperiksaan yang semakin hampir. Walaupun tekad dan azam telah ku tanam dalam diri tapi mungkin ini disebabkan kesedaranaku yang hampir terlambat. Namun aku bertuah kerana sedang aku kerunsingan, Cikgu Faezah, guru Kimia kami memberi saranan agar aku bertemu dengan guru kaunseling sekolah kami Cikgu Aishah untuk berbincang.Tidak rugi aku bertemu dengan guru kaunseling, kerana bukan setakat teknik menenangkan fikiran tapi aku juga dapat membina dan melaksanakan jadual waktu yang baru dan sesuai dengan jangka masa peperiksaan yang semakin hampir. 

Hari yang ditunggu sudah tiba di garisan permulaan. Kerusi dan meja peperiksaan sudah siap tersusun. Tempat dudukku dibarisan pertama meja ke empat. Mungkin kerana kelas sains dan nama aku bermula dengan huruf F. Hari demi hari ku lalui dengan tabah dan tenang. Doa yang Ustazah Rekiah ajar, ku baca sebelum kertas peperiksaan dibuka, petua untuk mendapat keberkatan. Sepanjang peperiksaan berlangsung, bukan sahaja kami yang berpeluh menumpukan perhatian menjawab kertas soalan tetap kelihatan guru-guru kami juga sama gelisahnya, malah lebih berdebar daripada kami.

Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Kini debaran menanti keputusan pula menerpa perasaan. Esok keputusan SPM akan diumumkan, begitulah laporan berita jam lapan malam tadi. Aku dengan rakan-rakan Siew Pien, Tai Fook, Izam, Asmah dan beberapa pelajar kelas lain sudah setia menunggu Guru Penolong Kanan Pentadbiran mengumumkan keputusan peperiksaan SPM kami. Mungkin kami datang terlalu awal. Bila pintu dewan dibuka untuk kami masuk melihat keputusan, tiba-tiba aku di sapa dari belakang. Cikgu Fatimah rupanya. Dia memegang tanganku sambil mengucapkan tahniah.” Saya tak sangka awak boleh dapat kepujian dalam mata pelajaran Biologi dan menjadi di antara pelajar terbaik Biologi.” Kata-kata lembut yang keluar dari bibir Cikgu Fatimah seakan bukan dia di hadapanku. Aku lihat ada air jernih di kelopak matanya. Aku buka dan seakan tidak percaya melihat slip keputusan yang diserahkan oleh Cikgu Norlia guru kelas kami. Keputusan ku walau tidak secemerlang Siew Pien, Tai Fook dan Asmah, tapi aku tetap bangga kerana mendapat keputusan kepujian dalam semua mata pelajaran kecuali matematik tambahan. Mak dan ayah menyambut gembira berita keputusan ku ini dengan doa semoga aku dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Setiap peristiwa itu ada hikmahnya. Setiap kejadian ada sebab dan puncanya. Kalau bukan kerana kemarahan dan cabaran Cikgu Fatimah, nasihat Cikgu Faezah, dorongan Cikgu Aisyah dan guru-guru lain, mana mampu aku mendapat keputusan begini. Doa emak dan ayah juga mengiringi setiap langkah seorang anak dalam mengharungi cabaran untuk menuju kejayaan.

Segala-galanya sudah berlalu. Hampir 20 tahun lamanya aku meninggalkan alam persekolahan, namun pengalaman itu betul-betul menjadi peransang untuk aku berjaya dan terus berjaya dalam hidup ini. Aku yakin telah buktikan kepada semua guru bahawa aku bukan Fairus yang mereka kenal dulu. Kini aku sudah bergelar guru berkelulusan ijazah. Aku sudah mampu memiliki rumah besar, kereta besar dan tanggungjawab besar terhadap anak bangsaku. Walau bagaimanapun, apa yang dikurniakan Allah hari ini tidak mungkin wujud tanpa jasa guru-guruku. Ingin ku laungkan ucapan TERIMA KASIH CIKGU kepada semua guru-guruku walau di mana mereka berada.


Terima Kasih Cikgu…

Eh... Tiba tiba air mata cikgu menitis pulak semasa membaca CERPEN ni.. Ialah cerpen lama yang masih tersimpan di dalam laptop .... Yang pernah di pertandingkan ke peringkat Negeri sempena Hari Guru... 
Hari ini Lengkaplah kongsi cerita tentang cerpen TERIMA KASIH CIKGU.. Harap ada anak2 pelajar yang membaca dapat pengajaran darinya...

IN SYA ALLAH..

Tiada ulasan: