Masih ingat dengan CERPEN TERIMA KASIH CIKGU...
Apa yang terjadi kepada Fairus? Apa pilihan yang dia buat? Kelas tambahan Biologi atau Latihan Bola Sepak sekolah?
Mari sama-sama kita ikuti kisah Fairus...
Jam tepat pukul empat petang, aku lihat dari tepi pagar sekolah, ramai ahli kelab bola sepak sekolah sedang berkumpul. Semakin hampir langkahku ke padang jantungku berdegup semakin kencang. Aku cuba mengintai-ngintai kalau-kalau kelibat Cikgu Fatimah muncul. Tiba-tiba aku terdengar satu suara yang memang tidak asing bagi ku, “Untuk ingat lebih baik tentang struktur badan, tulang dan system aliran darah gunakan rajah kamu sendiri. Baca dan fahamkan kemudian lukis apa yang kamu faham. Cara ini akan menguatkan daya ingatan kamu untuk jangka masa panjang.” Bila ku menoleh ke arah blok akademik, sah itu Cikgu Fatimah sedang mengajar rakan-rakan ku. Langkahku terhenti seketika, namun panggilan bola sepak sangat kuat sehingga aku terus membuat pecutan 100 meter gaya Watson Ngambek ke padang untuk bersama Cikgu Nasaruddin. Aku cukup puas bermain petang ini, jam enam setengah baru kakiku melangkah pulang. Ayah menunggu di depan pintu pagar sekolah dengan keretanya. Tiba-tiba aku terlihat seseorang sedang bercakap dengan ayah di pintu kereta. Ya Allah! Cikgu Fatimah rupanya. Tapi kenapa dia berjumpa ayahku? Persoalan demi persoalan bermain difikiran.
Sepanjang perjalanan pulang selalunya
ayah akan bertanyakan tentang latihan bola dan sekali sekala tentang pelajaran
ku. Tetapi kali ini ayah diam seribu bahasa dan aku faham ada yang tidak kena.
Cikgu Fatimah memang sudah melampau sehingga melibatkan ayah dalam soal aku dan
dia. Sesampai kami dirumah, ayah minta aku bersihkan diri dan bersiap untuk solat
Maghrib kemudian dia mahu aku ke biliknya. Aduh, kecut perut dibuatnya,
maklumlah dah lama tak kena marah atau dirotan ayah. Aku syak ini tentu pasal
kelas tambahan petang tadi.
Aku masuk ke bilik ayah perlahan, ku
intai dan kelihatan ayah sedang membaca sambil menunggu lagaknya. Bila ayah
menoleh ke arahku, langkahku terus terhenti. Tidak sanggup melihat renungan
ayah. Ayah suruh aku duduk di sebelahnya. Pelik bunyinya… Ayah terus
berkata-kata, satu persatu kalimat ayah susun untuk anak terunanya. Aku
tertunduk… Tanpa sedar titis air mataku gugur juga ke bumi. Aku fahami maksud
ayah, aku perlu kuat berusaha kerana aku adalah harapan keluarga. Aku janji
akan berusaha untuk keluarga kita ayah. Namun, masih ada persoalan yang belum
terjawab… Kenapa Cikgu Fatimah jumpa ayah tadi?
Hari ini ada amali Biologi, ku lihat
semua rakan ku bersedia dengan bahan masing-masing. Ada yang bawa katak, ada
yang bawa cacing dan ada yang bawa lipas. Wen Chiah asyik mengusik Siew Pien
dengan kataknya. Aku tertanya… Bila Cikgu Fatimah suruh bawa semua ini?
Kecelaruan mindaku membuat hatiku tidak menentu. Tentu dendaan dan amarah Cikgu
Fatimah lebih hebat kali ini. Patutkah aku ponteng amali Biologi untuk entah
yang ke berapa kali. Tapi bila kenang wajah ayah dan emak aku teruskan juga ke
makmal pagi ini tanpa bahan amali. Dari perbualan rakan sekelas, rupanya Cikgu
Fatimah berpesan supaya membawa bahan amali ini semasa kelas tambahan tempoh
hari. Mati aku kali ini…
Sepanjang tiga waktu amali aku didenda
berdiri diluar tingkap makmal sambil melihat rakan-rakan ku melakukan tugasan.
Cikgu Fatimah asyik memerli aku, tercabar dan terus tercabar. Salah
satu dari kata-katanya, “ Nak tahu sistem pernafasan semasa latihan bola sepak
boleh tanya dengan Fairus, tapi kalau nak tahu sistem pernafasan haiwan kenalah
bedah haiwan. Nanti bila
periksa SPM soalan tanya tentang pernafasan haiwan jawab bola sepak ye..” Walau pun
dengar lebih lembut dari selalu… pedihnya tetap menikam kalbu.? Aku semacam
mahu menerkam cikgu Fatimah, mungkin itu naluri kejantanan aku dan bertanya
kenapa dia benci dengan aku. Sewaktu cikgu Fatimah berjalan melintasi aku
semasa keluar dari makmal, tanpa aku sedari bibir ini terlepas kata, “ Fikir
diri tu dah bagus sangat ke? ” Cikgu Fatimah menoleh dan merenung
aku. Aku tunjuk berani dengan membalas renungannya. Rakan-rakan ku sedang sibuk
melangkah keluar dari makmal untuk ke kelas. Aku mengikut mereka sambil
meninggalkan cikgu Fatimah di belakang. Puas hati ku…
Cuti penggal pertama selama dua minggu
akan bermula dan satu kem motivasi akan di adakan selama empat hari anjuran
Unit Bimbingan dan Kaunseling bersama pelajar UPM untuk pelajar tingkatan lima
yang berpencapaian sederhana. Senarai nama pelajar yang terpilih telah di
tampal di depan bilik kaunseling sekolah. Aku terdengar bisik-bisik rakan
sekelas tentang pelajar-pelajar yang terpilih mengikuti kem motivasi itu akan
‘dibasuh’ secukupnya. Aku berharap namaku tidak tersenarai tetapi kenapa
perasaan gelisah semakin mengganggu dudukku. Bunyi loceng waktu rehat berbunyi,
tanpa lengah aku terus ke bilik kaunseling. Satu persatu namaku teliti,
tiba-tiba mataku seakan tidak mahu percaya. Di nombor 40, tertulis nama Fairus
Bin Shah. Sah! Aku telah tersenarai. Entah kenapa hati ini terdetik menyatakan
Cikgu Fatimah yang bertanggungjawab menyenaraikan nama ku untuk kem ini.
Dua minggu lagi aku akan berangkat ke
UPM untuk menyertai kem motivasi dan semakin kuat perasaan geramku terhadap
Cikgu Fatimah. Setiap kali kelas Biologi, aku merasakan waktu terlalu lambat
berlalu. Mendengar suara Cikgu Fatimah seakan menyesakkan lubang telingaku.
Nota yang diberi terasa berat tangan untuk ku salin. Minggu depan peperiksaan
penggal pertama. Ku lihat rakan sekelas sibuk megulangkaji. Bukan aku tidak
belajar tetapi perasaan terhadap Cikgu Fatimah dan persoalan yang bermain di
fikiran membuat aku runsing dan buntu. Kenapa dia bencikan aku? Kenapa dia
jumpa ayah? Kenapa dia beri nama aku untuk kem motivasi?
Aku rasa bersyukur peperiksaan penggal pertama
telah selamat dilalui. Namun bila teringat tinggal dua hari lagi kem motivasi
akan bermula perasaan marah terhadap Cikgu Fatimah timbul kembali. Paling
menggeramkan aku, latihan bola sepak semasa cuti sekolah tidak dapat aku
hadiri. Walau dengan berat hati aku terpaksa meneruskan penyertaan ke kem ini.
Empat hari bukanlah lama.
OPP... CERPEN BELUM DIPENGHUJUNGNYA...
NANTIKAN KESUDAHAN KISAH FAIRUS SELEPAS INI...
Sebenarnya cikgu sedang... LAYAN SAKIT PERUT sambil TUNGGU HUBBY DGN 4 ORANG TENTERA BALIK DARI PESTA PANTAI... Kesian hubby terpaksa bawa anak2.. mlm ni.. bila tak sampai hati tengok anak2 sampai menangis dan merajuk nak ke PESTA PANTAI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan