Disini bermula sebuah cerita...

Disini bermula sebuah cerita...

Selasa, 29 September 2015

BATU HEMPEDU @ GALLBLADDER STONES

Assalamualaikum W.B.T

Lama rasanya jari jemari tidak bermain di keyboard untuk kongsi cerita di blog ini..Cikgu tak tahu nak mula cerita daripada mana. Kesan  pembedahan masih terasa ngilu.

Alhamdulillah dilakukan secara Laparoskopik. Cikgu tak pernah cerita sebelum ini, sebenarnya cikgu ni memang selalu sangat sakit perut, angin sejak zaman cikgu sekolah menengah. Ada juga rasa macam perut kembung. Bila jumpa doktor,selalu dapat ubat angin dan gastrik ( ubat putih yang rasa ubat gigi tu). 

Fakta - fakta kesihatan berkaitan penyakit batu hempedu yang cikgu tambah adalah diperolehi dari petikan Laman Kesihatan di internet. Sumber Maklumat adalah daripada Dr. Abd Hamid Mat Sain (Pakar Runding Bedah Am dan Laparoskopik, Columbia Asia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan)


PERMULAAN SAKIT PADA TAHUN 2012

Sejarah cikgu rasa sakit 'Gallbladder Stone' ni bermula pada tahun 2012 sebenarnya. Tapi cikgu tak tahu simptom penyakit ni... Nama Penyakit pun macam tak ambil tahu. Masa tu cikgu Mengandungkan anak yang ke-5 Nurul Iffah. Sekarang Iffah dah 3 tahun. Kalau nak diceritakan sakit 'perut kembung' masa tu macam perut terik - tegang hingga nak bernafas pun susah. Sakitttt sangat. Satu satu malam lamanya. Selepas sapu minyak angin ANUGERAH baru reda sedikit sakitnya. Mulalah perut cikgu makin kembung dan banyak angin. Pinggang pun rasa sakit tidak gagah macam dulu-dulu. dalam fikiran badan banyak angin sebab anak pun dah ramai.

Kali ke dua serangan teruk berlaku lagi masa tu kandungan cikgu dah agak besar masa tu raya puasa (aidil fitri). Kecoh la family mertua, ingat cikgu salah makan atau banyak minum air batu. Tapi kali ni sakit lama sikit... satu hari satu malam. Siap muntah-muntah lagi. Tuam air panas la.. Minum air suam semua tak jalan... sampai cikgu menyerah suruh hantar hospital. Tapi ye la kan semua orang pun tak ada pengalaman sakit ni... tidak terjangkau oleh fikiran itu adalah simptom penyakit batu hempedu. ialah nama penyakit pun tidak ada dalam kamus ingatan cikgu. Akhirnya keesokan pagi sakit semakin reda. Di pendekkan cerita habis cerita sakit perut kembung tahun 2012. 

Dalam masa yang sama cikgu sangat tidak selesa dengan keadaan diri cikgu... Bila masuk makanan je, terus perut kembung, rasa senak semacam. angin banyak asyik sendawa.. tapi perut tidak juga lega. Satu hari terlintas untuk jumpa doktor bila dah tak tahan asyik senak perut aje hingga ke dada anginnya.. macam-macam jenis penyakit cikgu bayangkan.



MAC - JULAI 2015

Kisah cikgu di kenalpasti menghidap gallbladder stone bermula ...

Lepas minum pagi pukul 10, cikgu rasa senak kat dada.. mencucuk pun ada.. ulu hati panas.. abdomen rasa tak selesa. Bila teringat cikgu-cikgu yang meninggal di sekolah kerana sakit jantung.. fikiran mula cemas. 

Cikgu minta izin daripada pentadbir untuk ke Klinik Feisal di Bandar Rompin untuk check-up (klinik yang paling popular di Rompin dan memiliki kelengkapan perubatan yang baik). Cikgu minta diuji semua penyakit yang mungkin dengan keadaan cikgu yang tidak selesa. Alhamdulillah pemeriksaan doktor mengesahkan cikgu tiada penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Melalui cerita cikgu tentang sakit sejak tahun 2012, doktor minta cikgu untuk di scan. Ujian ultrasound pun dilakukan... dan jawapannya... jeng-jeng-jeng doktor kata dia nampak banyak batu dalam pundi hempedu. Itulah Gallbladder stone..@ Batu Hempedu. Dr. Rusilah mencadangkan cikgu berjumpa pakar di HTAA untuk rawatan lanjut. 

Diringkaskan cerita...

Proses rawatan pun bermula dari hari ke minggu ke bulan berulang alik Rompin  ke Kuantan.. (4 bulan lamanya).. barulah pakar confirm dan buat appointment pembedahan yang dijadualkan dalam 3 bulan kemudian ( 8 September 2015). Itu adalah tarikh yang paling awal booking. Tetapi selepas seminggu baru cikgu sedar yang tarikh pembedahan adalah tarikh along anak cikgu periksa UPSR. Cikgu cadang nak buat penangguhan... namun bila teringatkan kaedah rawatan yang panjang dan prosedur endosckopic (masuk kamera) masih menjadi trauma. Apa tidaknya... sakit, 2 hari lepas rawatan masih susah nak menelan. Maka cikgu mengambil keputusan untuk buat pembedahan di KPJ Kuantan - cadangan Dr. Rusilah di Klinik Feisal (dalam appointment semula untuk consult). 


Ini adalah gambar rajah  contoh yang menunjukkan kedudukan gallbladder dan gallstones dalam tubuh seseorang yang menghidapi penyakit Gallbladder stone 

24 OGOS 2015

Pertemuan pertama dengan Dato' Dr Ngun emmm.. doktor yang cool... meyakinkan. atas cadangan DR Rusilah ( Klinik Faisal Kuala Rompin) Dr Ngun scan... (masa tu cikgu 'puasa') dr tanya lagi... awak puasa tak? masa tu dia tak cakap apa2 cuma nampak ada la batu hempedu tu dan cikgu di hantar ke pakar scan.. Dr perempuan, ala tak ingat pulak namanya. 

Bila tanya doktor semasa scan, kenapa rasa sakit? rupanya itu geseran batu dengan dinding hempedu - selepas 3 tahun baru tahu.. Dr pakar tu kata batu sudah memenuhi 2/3 pundi hempedu sehingga puasa pun pundi hempedu tidak kembang.. faham-faham je la... kurang berfungsi dah hempedu cikgu.. Nak tahu fungsi Hempedu...Baca di info Bawah

Appoinment pembedahan dibuat... yang penting selepas along periksa UPSR. So tarikh pembedahan pada 21 September 2015. Hari Isnin



21 SEPTEMBER 2015

Pengalaman pertama menjalani pembedahan... Sedih ada cemas pun ada... Macamana semasa pembedahan... Macamana keadaan cikgu nanti selepas hempedu dibuang Persoalan yang silih berganti.. Sebelum Hari Pembedahan Cikgu sempat beberapa kali menelefon emak cikgu.. Minta ampun, doanya dan redhanya. Kepada semua kawan-kawan cikgu mohon ampun dan maaf, bayar hutang yang ada. Sudah tentu sebelum masuk dewan bedah... Mohon Ampun dan redha Suami.

Pembedahan Laparoskopik akan di jalankan ke atas perut cikgu: Macam gambar kat bawah ni... Tu bukan gambar cikgu... gambar tu cikgu ambik dari internet.. tapi macam tu la prosedur pembedahannya..


Macam ni lah lebih kurang pembedahan yang dibuat ke atas cikgu..

Ini gambar jarak dekat, emmm... ngilu pula rasa perut cikgu bila tengok gambar ni... Tapi semasa pembedahan laparoskopik cikgu dibius penuh... ditidurkan...

Lebih kurang 2 1/2 jam pembedahan dijalankan dari 9.30 pagi hingga 12.00 tgh, akhinya cikgu dikejutkan oleh suara-suara nurse yang memanggil nama cikgu berulang kali. Mata dan mulut memang tak boleh buka, tapi cikgu boleh angguk kepala respon kat panggilan nurse. Lepas tu, terus tak sedar semula sehingga ke petang dalam pukul 3.30 ptg. Bila cikgu sedar, suami cikgu setia menunggu. Masa tu cikgu cuma boleh buka mata tapi tak boleh bercakap mulut cuba juga nak panggil suami tapi suara tak keluar. Luka di perut memang terasa sakit. Doktor memang suruh cikgu  teruskan puasa sehingga malam dan hanya boleh minum sikt sahaja hingga esok. Selepas Suami bantu cikgu solat Jamak Zuhur dan Asar, Suami cikgu terpaksa balik sebab anak2 cikgu yang kecil-kecil masih perlu perhatian. Alhamdulillah katil sebelah dah ada penghuni maka adalah teman cikgu malam tu. Syukur tak terhingga kerana Diana (Kakak Nadia - pesakit sebelah katil) berpengalaman kerana pernah menjalani 7 pembedahan major akibat kemalangan. Dia banyak membantu cikgu untuk bangun ke tandas dan mengambil wudhuk untuk solat. Diana banyak membantu cikgu kurangkan risau tentang sakit dan keadaan yang tidak selesa melalui pengalamannya. Terima Kasih Diana.


Cikgu Baru Balik Dari Bilik Bedah- belum sedar lagi

Inilah 9 biji batu yang di keluarkan bersama hempedu Cikgu... saiznya besar sikit dari lada hitam ada yang sama betul macam lada hitam


27 SEPTEMBER 2015

Alhamdulillah, sudah 7 hari pembedahan dijalankan. Keadaan cikgu beransur pulih seperti sediakala cuma masih makan bubur nasi. Cikgu ada cuba makan nasi... Perut cikgu jadi tidak selesa... Cikgu juga  perlu menghabiskan antibiotik dan doktor ada membekalkan Fybogel (sejenis Fiber) sangat membantu dalam penghadaman. Masa 3 hari pertama cikgu tidak lawas buang air besar.. selepas mengambil fybogel, baru lega. Bila hari 5-7 pula cikgu mula kerap ke tandas selepas makan dan agak senak perut.. fybogel membantu mengurangkan keadaan tidak selesa itu... Alhamdulillah.

MACAMANA KALAU CIKGU TIDAK MENJALANI PEMBEDAHAN BUANG BATU HEMPEDU ??? APA AKAN TERJADI KEPADA CIKGU???


INSYA ALLAH cikgu akan sambung cerita dalam entri selepas ini... Apakah penyakit dan kesan dari Batu Hempedu jika tidak di buang...


Di bawah ni, cikgu bagi sikit maklumat simptom yang mungkin di alami oleh orang yang ada batu hempedu (gallbladder stone) untuk rujukan semua.

(TULISAN YANG BERWARNA MERAH ADALAH YANG CIKGU ALAMI)

Isnin, 14 September 2015

Sambungan Cerpen Bahagian Akhir...

Assalamualaikum,

Penatnya cikgu rasa, maklum baru balik dari Pulau Tioman. Cuti 2 hari pun nak berjalan sakan... Kesannya sakit2 badan.

Cikgu gagahkan juga menghadap laptop ni... untuk menghabiskan cerpen TERIMA KASIH CIKGU.

Inilah kesudahan Kisah Fairus dalam TERIMA KASIH CIKGU...



Sepanjang di UPM, peserta kem di ajar teknik belajar, cara membuat nota, mengurus masa, membina matlamat dan membuat perancangan masa depan. Kami juga dibawa melawat bilik-bilik kuliah, dewan peperiksaan yang besar yang juga menjadi dewan konvokesyen pelajar UPM. Tempat riadah sewaktu petang kami sangat menarik dengan bukit menghijau, kolam-kolam ikan, ladang ternakan dan kebun sayuran. Tidak ketinggalan juga kami dibawa melawat ke kem askar Wataniah di mana sebilangan pelajar UPM menjadi pelatihnya dan banyak kelebihan yang mereka perolehi. Hati ku ada terdetik sungguh seronok jika dapat menjadi pelajar di UPM ini. Fasilitator kami mengingatkan dapatkan keputusan yang terbaik semasa SPM merupakan tiket untuk menjejakkan kaki sekali lagi ke UPM, bukan sebagai peserta kem tetapi sebagai pelajar.

            Sepanjang perjalanan pulang dari kem motivasi, aku termenung memikirkankan kata-kata fasilitator semasa bengkel dan sepanjang program. Aku pernah ponteng kelas, aku pernah marah cikgu, aku pernah dendam cikgu dan aku pernah abaikan nota dan latihan yang cikgu beri. Tanpa ku sedari semua yang aku lakukan seakan aku tidak menghormati emak dan ayah, menolak harapan dan impian mereka. Aku pernah cuba hisap rokok hanya kerana dicabar Azlan rakan sepasukan bola sepak sedangkan aku tahu bahaya serta kesan rokok kepada kesihatan dan fungsi otak.Semua itu aku tahu dari Cikgu Fatimah. Ah!!! Nama itu lagi…Tapi tidak dinafikan kerana maklumat yang Cikgu Fatimah beri semasa kelas Biologi menyebabkan aku takut untuk mencuba buat kali kedua dan seterusnya. Bukan apa, aku takut stamina bermain bola sepak akan kurang.
 
            Hari pertama persekolahan selepas cuti penggal pertama membuat jantung bedegup lagi. Keputusan peperiksaan akan diumumkan guru kelas hari ini. Cikgu Norlia guru kelas kami menyerahkan buku rekod setiap pelajar. Tanpa berlengah aku buka untuk melihat… Ya Allah, dua mata pelajaran sahaja yang mendapat kepujian, enam lulus dan dua lagi gagal. Apa reaksi ayah dan emak bila tahu berita ini. Aku ingat janjiku pada ayah tempoh hari.  

Waktu kelas Biologi tengah hari tadi, aku lihat Cikgu Fatimah tidak seperti selalu. Dia tidak banyak membebel, selepas menyemak semula kertas jawapan peperiksaan kami disuruh membuat pembetulan. Dia hanya memantau kami dari meja ke meja. Aku rasa pelik dengan sikapnya. Sebelum kelas tadi aku yakin yang dia pasti mencampakkan kertas peperiksaanku ke muka atau ke mana saja sebab akulah satu-satunya pelajar yang gagal mata pelajaran Biologi. Sebaliknya aku jadi tergamam apabila Cikgu Fatimah dengan lembut menepuk bahuku dari belakang sambil meminta aku bertemu dengannya lepas rehat di bilik guru. Sememangnya aku tunggu saat ini untuk ku ajukan soalan-soalan yang sudah berat di kotak fikiran.

“Fairus, apa yang awak tak puas hati dengan saya? Kenapa awak gagal Biologi? Awak Tak suka saya ajar awak ye?” begitulah pertanyaan yang Cikgu Fatimah ajukan bertubi-tubi. Aku tidak terus menjawab. Malah aku pula dengan berani menyoal Cikgu Fatimah dengan soalan-soalan yang selama ini ku simpan. Cikgu Fatimah seakan terkejut dan merenung muka ku dengan renungan penuh makna. Aku cuba menterjemah tapi tidak pasti maksudnya. Aku lihat seakan ada senyuman nipis dibibirnya. Dia menjelaskan duduk perkara sebenar kenapa dia melakukan semua itu kepada ku sambil menarik tangan ku supaya duduk di kerusi di hadapannya. Katanya walaupun aku sibuk dengan bola sepak, aku mampu bersaing dengan rakan sekelas dan kerana itu dia mahu aku lebih tumpuan dalam pelajaran semasa di tingkatan lima agar aku dapat keputusan yang terbaik dalam SPM. Berbagai cara dia cuba menyedarkan aku sehinggalah dia berjumpa dengan ayah pada petang itu. Cuba bayangkan jika aku pandai mengatur masa untuk bermain dan belajar, tidak ponteng kelas dan tumpuan sepenuhnya dalam kelas dari seawal tingkatan empat, pasti keputusan aku hari ini lebih baik. Begitulah bayangan yang cikgu Fatimah gambarkan dimindaku.

Semalaman aku memikirkan kata-kata Cikgu Fatimah. Di manakah kebenaran kata-katanya? Apakah ada maksud lain yang hendak di sampaikan kepada aku? Kata-kata akhir Cikgu Fatimah semasa kami berjumpa tadi betul-betul mencabar aku. “Buktikan pada saya yang awak akan berjaya dalam peperiksaan SPM nanti,” begitulah katanya. Aku malam ini seakan cacing kepanasan. Pusing kanan tidak kena, pusing kiri tidak selesa. Pejam mata terbayang wajah Cikgu Fatimah sedang marah, senyum, masam silih berganti. Ini buat aku terus bangun, duduk dibirai katil dengan semangat yang membara dengan jiwa yang tercabar, aku tanpa sedar memasang azam.

Pagi ku hari ini amat berbeza, aku mula bertekad untuk melaksanakan azamku. Aku mahu jadi orang yang berjaya kepada keluarga, agama dan bangsa. Aku mahu buktikan pada semua cikgu bahawa Fairus bin Shah bukan pelajar yang bodoh sombong, yang malas dan yang selalu menyakitkan hati. Kepada Cikgu Fatimah, aku akan buktikan, pelajar yang cikgu benci ini akan berjaya. Kepada cikgu Nasaruddin, aku akan berbincang untuk mengurangkan penglibatan aku dalam pasukan bola sepak. Tarik diri dari pasukan sekolah rasanya tidak tapi mungkin waktu latihan aku akan kurangkan. Sukan juga penting untuk badan dan otak. Badan cergas, otak cerdas.

Mak dan ayah selalu berpesan sebagai anak sulung aku perlu menunjukkan contoh kepada adik-adik. Aku perlu buka minda mereka dengan jalan menuju ke manara gading. Tapi… mampukah aku?

Masa terus berlalu, peperiksaan SPM tidak sampai dua bulan lagi. Pernah satu ketika aku hampir lari dari rumah, ponteng sekolah dan hisap rokok kerana hebatnya tekanan peperiksaan yang semakin hampir. Walaupun tekad dan azam telah ku tanam dalam diri tapi mungkin ini disebabkan kesedaranaku yang hampir terlambat. Namun aku bertuah kerana sedang aku kerunsingan, Cikgu Faezah, guru Kimia kami memberi saranan agar aku bertemu dengan guru kaunseling sekolah kami Cikgu Aishah untuk berbincang.Tidak rugi aku bertemu dengan guru kaunseling, kerana bukan setakat teknik menenangkan fikiran tapi aku juga dapat membina dan melaksanakan jadual waktu yang baru dan sesuai dengan jangka masa peperiksaan yang semakin hampir. 

Hari yang ditunggu sudah tiba di garisan permulaan. Kerusi dan meja peperiksaan sudah siap tersusun. Tempat dudukku dibarisan pertama meja ke empat. Mungkin kerana kelas sains dan nama aku bermula dengan huruf F. Hari demi hari ku lalui dengan tabah dan tenang. Doa yang Ustazah Rekiah ajar, ku baca sebelum kertas peperiksaan dibuka, petua untuk mendapat keberkatan. Sepanjang peperiksaan berlangsung, bukan sahaja kami yang berpeluh menumpukan perhatian menjawab kertas soalan tetap kelihatan guru-guru kami juga sama gelisahnya, malah lebih berdebar daripada kami.

Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Kini debaran menanti keputusan pula menerpa perasaan. Esok keputusan SPM akan diumumkan, begitulah laporan berita jam lapan malam tadi. Aku dengan rakan-rakan Siew Pien, Tai Fook, Izam, Asmah dan beberapa pelajar kelas lain sudah setia menunggu Guru Penolong Kanan Pentadbiran mengumumkan keputusan peperiksaan SPM kami. Mungkin kami datang terlalu awal. Bila pintu dewan dibuka untuk kami masuk melihat keputusan, tiba-tiba aku di sapa dari belakang. Cikgu Fatimah rupanya. Dia memegang tanganku sambil mengucapkan tahniah.” Saya tak sangka awak boleh dapat kepujian dalam mata pelajaran Biologi dan menjadi di antara pelajar terbaik Biologi.” Kata-kata lembut yang keluar dari bibir Cikgu Fatimah seakan bukan dia di hadapanku. Aku lihat ada air jernih di kelopak matanya. Aku buka dan seakan tidak percaya melihat slip keputusan yang diserahkan oleh Cikgu Norlia guru kelas kami. Keputusan ku walau tidak secemerlang Siew Pien, Tai Fook dan Asmah, tapi aku tetap bangga kerana mendapat keputusan kepujian dalam semua mata pelajaran kecuali matematik tambahan. Mak dan ayah menyambut gembira berita keputusan ku ini dengan doa semoga aku dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Setiap peristiwa itu ada hikmahnya. Setiap kejadian ada sebab dan puncanya. Kalau bukan kerana kemarahan dan cabaran Cikgu Fatimah, nasihat Cikgu Faezah, dorongan Cikgu Aisyah dan guru-guru lain, mana mampu aku mendapat keputusan begini. Doa emak dan ayah juga mengiringi setiap langkah seorang anak dalam mengharungi cabaran untuk menuju kejayaan.

Segala-galanya sudah berlalu. Hampir 20 tahun lamanya aku meninggalkan alam persekolahan, namun pengalaman itu betul-betul menjadi peransang untuk aku berjaya dan terus berjaya dalam hidup ini. Aku yakin telah buktikan kepada semua guru bahawa aku bukan Fairus yang mereka kenal dulu. Kini aku sudah bergelar guru berkelulusan ijazah. Aku sudah mampu memiliki rumah besar, kereta besar dan tanggungjawab besar terhadap anak bangsaku. Walau bagaimanapun, apa yang dikurniakan Allah hari ini tidak mungkin wujud tanpa jasa guru-guruku. Ingin ku laungkan ucapan TERIMA KASIH CIKGU kepada semua guru-guruku walau di mana mereka berada.


Terima Kasih Cikgu…

Eh... Tiba tiba air mata cikgu menitis pulak semasa membaca CERPEN ni.. Ialah cerpen lama yang masih tersimpan di dalam laptop .... Yang pernah di pertandingkan ke peringkat Negeri sempena Hari Guru... 
Hari ini Lengkaplah kongsi cerita tentang cerpen TERIMA KASIH CIKGU.. Harap ada anak2 pelajar yang membaca dapat pengajaran darinya...

IN SYA ALLAH..

Jumaat, 11 September 2015

TERIMA KASIH CIKGU...sambungan.

Assalamualaikum,

Masih ingat dengan CERPEN TERIMA KASIH CIKGU...

Apa yang terjadi kepada Fairus? Apa pilihan yang dia buat? Kelas tambahan Biologi atau Latihan Bola Sepak sekolah?

Mari sama-sama kita ikuti kisah Fairus...



Jam tepat pukul empat petang, aku lihat dari tepi pagar sekolah, ramai ahli kelab bola sepak sekolah sedang berkumpul. Semakin hampir langkahku ke padang jantungku berdegup semakin kencang. Aku cuba mengintai-ngintai kalau-kalau kelibat Cikgu Fatimah muncul. Tiba-tiba aku terdengar satu suara yang memang tidak asing bagi ku, “Untuk ingat lebih baik tentang struktur badan, tulang dan system aliran darah gunakan rajah kamu sendiri. Baca dan fahamkan kemudian lukis apa yang kamu faham. Cara ini akan menguatkan daya ingatan kamu untuk jangka masa panjang.” Bila ku menoleh ke arah blok akademik, sah itu Cikgu Fatimah sedang mengajar rakan-rakan ku. Langkahku terhenti seketika, namun panggilan bola sepak sangat kuat sehingga aku terus membuat pecutan 100 meter gaya Watson Ngambek ke padang untuk bersama Cikgu Nasaruddin.  Aku cukup puas bermain petang ini, jam enam setengah baru kakiku melangkah pulang. Ayah menunggu di depan pintu pagar sekolah dengan keretanya. Tiba-tiba aku terlihat seseorang sedang bercakap dengan ayah di pintu kereta. Ya Allah! Cikgu Fatimah rupanya. Tapi kenapa dia berjumpa ayahku?  Persoalan demi persoalan bermain difikiran.

Sepanjang perjalanan pulang selalunya ayah akan bertanyakan tentang latihan bola dan sekali sekala tentang pelajaran ku. Tetapi kali ini ayah diam seribu bahasa dan aku faham ada yang tidak kena. Cikgu Fatimah memang sudah melampau sehingga melibatkan ayah dalam soal aku dan dia. Sesampai kami dirumah, ayah minta aku bersihkan diri dan bersiap untuk solat Maghrib kemudian dia mahu aku ke biliknya. Aduh, kecut perut dibuatnya, maklumlah dah lama tak kena marah atau dirotan ayah. Aku syak ini tentu pasal kelas tambahan petang tadi.

Aku masuk ke bilik ayah perlahan, ku intai dan kelihatan ayah sedang membaca sambil menunggu lagaknya. Bila ayah menoleh ke arahku, langkahku terus terhenti. Tidak sanggup melihat renungan ayah. Ayah suruh aku duduk di sebelahnya. Pelik bunyinya… Ayah terus berkata-kata, satu persatu kalimat ayah susun untuk anak terunanya. Aku tertunduk… Tanpa sedar titis air mataku gugur juga ke bumi. Aku fahami maksud ayah, aku perlu kuat berusaha kerana aku adalah harapan keluarga. Aku janji akan berusaha untuk keluarga kita ayah. Namun, masih ada persoalan yang belum terjawab… Kenapa Cikgu Fatimah jumpa ayah tadi?

Hari ini ada amali Biologi, ku lihat semua rakan ku bersedia dengan bahan masing-masing. Ada yang bawa katak, ada yang bawa cacing dan ada yang bawa lipas. Wen Chiah asyik mengusik Siew Pien dengan kataknya. Aku tertanya… Bila Cikgu Fatimah suruh bawa semua ini? Kecelaruan mindaku membuat hatiku tidak menentu. Tentu dendaan dan amarah Cikgu Fatimah lebih hebat kali ini. Patutkah aku ponteng amali Biologi untuk entah yang ke berapa kali. Tapi bila kenang wajah ayah dan emak aku teruskan juga ke makmal pagi ini tanpa bahan amali. Dari perbualan rakan sekelas, rupanya Cikgu Fatimah berpesan supaya membawa bahan amali ini semasa kelas tambahan tempoh hari. Mati aku kali ini…

Sepanjang tiga waktu amali aku didenda berdiri diluar tingkap makmal sambil melihat rakan-rakan ku melakukan tugasan. Cikgu Fatimah asyik memerli aku, tercabar dan terus tercabar. Salah satu dari kata-katanya, “ Nak tahu sistem pernafasan semasa latihan bola sepak boleh tanya dengan Fairus, tapi kalau nak tahu sistem pernafasan haiwan kenalah bedah haiwan. Nanti bila periksa SPM soalan tanya tentang pernafasan haiwan jawab bola sepak ye..” Walau pun dengar lebih lembut dari selalu… pedihnya tetap menikam kalbu.? Aku semacam mahu menerkam cikgu Fatimah, mungkin itu naluri kejantanan aku dan bertanya kenapa dia benci dengan aku. Sewaktu cikgu Fatimah berjalan melintasi aku semasa keluar dari makmal, tanpa aku sedari bibir ini terlepas kata, “ Fikir diri tu dah bagus sangat ke? ”  Cikgu Fatimah menoleh dan merenung aku. Aku tunjuk berani dengan membalas renungannya. Rakan-rakan ku sedang sibuk melangkah keluar dari makmal untuk ke kelas. Aku mengikut mereka sambil meninggalkan cikgu Fatimah di belakang. Puas hati ku…

Cuti penggal pertama selama dua minggu akan bermula dan satu kem motivasi akan di adakan selama empat hari anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling bersama pelajar UPM untuk pelajar tingkatan lima yang berpencapaian sederhana. Senarai nama pelajar yang terpilih telah di tampal di depan bilik kaunseling sekolah. Aku terdengar bisik-bisik rakan sekelas tentang pelajar-pelajar yang terpilih mengikuti kem motivasi itu akan ‘dibasuh’ secukupnya. Aku berharap namaku tidak tersenarai tetapi kenapa perasaan gelisah semakin mengganggu dudukku. Bunyi loceng waktu rehat berbunyi, tanpa lengah aku terus ke bilik kaunseling. Satu persatu namaku teliti, tiba-tiba mataku seakan tidak mahu percaya. Di nombor 40, tertulis nama Fairus Bin Shah. Sah! Aku telah tersenarai. Entah kenapa hati ini terdetik menyatakan Cikgu Fatimah yang bertanggungjawab menyenaraikan nama ku untuk kem ini.

Dua minggu lagi aku akan berangkat ke UPM untuk menyertai kem motivasi dan semakin kuat perasaan geramku terhadap Cikgu Fatimah. Setiap kali kelas Biologi, aku merasakan waktu terlalu lambat berlalu. Mendengar suara Cikgu Fatimah seakan menyesakkan lubang telingaku. Nota yang diberi terasa berat tangan untuk ku salin. Minggu depan peperiksaan penggal pertama. Ku lihat rakan sekelas sibuk megulangkaji. Bukan aku tidak belajar tetapi perasaan terhadap Cikgu Fatimah dan persoalan yang bermain di fikiran membuat aku runsing dan buntu. Kenapa dia bencikan aku? Kenapa dia jumpa ayah? Kenapa dia beri nama aku untuk kem motivasi?

 Aku rasa bersyukur peperiksaan penggal pertama telah selamat dilalui. Namun bila teringat tinggal dua hari lagi kem motivasi akan bermula perasaan marah terhadap Cikgu Fatimah timbul kembali. Paling menggeramkan aku, latihan bola sepak semasa cuti sekolah tidak dapat aku hadiri. Walau dengan berat hati aku terpaksa meneruskan penyertaan ke kem ini. Empat hari bukanlah lama.  

OPP... CERPEN BELUM DIPENGHUJUNGNYA... 
NANTIKAN KESUDAHAN KISAH FAIRUS SELEPAS INI...

Sebenarnya cikgu sedang... LAYAN SAKIT PERUT sambil TUNGGU HUBBY DGN 4 ORANG TENTERA BALIK DARI PESTA PANTAI... Kesian hubby terpaksa bawa anak2.. mlm ni.. bila tak sampai hati tengok anak2 sampai menangis dan merajuk nak ke PESTA PANTAI

Khamis, 10 September 2015

CERITA LAMA...

Assalamualaikum,

Hari ni cikgu tak sempat nak kongsi cerita.. Penat tu biasa, Ikhlaskan diri mu...

Cikgu ingat tentang teori adler yang cikgu nak cerita hari tu kan tapi belum sempat la, minta maaf banyak-banyak.

Ok.. hari ini cikgu nak kongsikan satu cerpen nukilan  cikgu yang pernah cikgu hantar untuk pertandingan sempena hari guru Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.. Alahai lama dah tau tahun 2008.  Inilah cerpennya ;


TERIMA KASIH CIKGU


Tuk… Tak… Tuk… Tak…
“She is coming… she is coming…,” jerit Tai Fook perlahan dalam pelat Cinanya yang seakan-akan menyebut kambing. Aku dan rakan-rakan sekelas secepat kilat duduk di tempat masing-masing, ada yang kelam-kabut menyusun buku-buku yang berserakan di atas meja. Tidak kurang juga yang mengajuk Tai Fook dengan pelat Cinanya. Beginilah gelagat pelajar Lima Sains tatkala kedengaran bunyi tapak kasut tumit tinggi Cikgu Fatimah, guru mata pelajaran Biologi.

Cikgu Fatimah memang digeruni pelajar-pelajar Lima Sains kerana ketegasannya dan suaranya yang lantang. “Jangan tunjuk pandai, kalau tak nak belajar tak payah datang sekolah,” jerit Cikgu Fatimah sambil melempar buku salah seorang pelajar kelas kami. Silap hari bulan bukan jeritannya sahaja boleh didengari sejauh satu blok, malah buku yang dilempar boleh jatuh dari tingkat dua ke longkang tingkat bawah. Pelajar yang tidak menyiapkan kerja rumah pula, ada dendanya. Henjut 100 kali merupakan denda yang sangat popular bagi kami terutama pelajar lelaki termasuk aku.

Sewaktu emak kejutkan bangun subuh pagi tadi, aku katakan aku sakit perut dan pening kepala. Tapi dengan ayah, renungan matanya sahaja cukup membuat lidahku kelu seribu bahasa. Aku tekad tidak mahu ke sekolah hari ini kerana nak siapkan nota Biologi Cikgu Fatimah. Peristiwa pagi semalam masih basah dalam ruang ingatan ini, “Fairus, sikap kamu betul-betul buat saya geram. Kerja rumah jarang sekali nak hantar, nota kalau buat tak apa, ini dah sampai bab struktur tulang kamu baru siap nota bab peredaran darah. Kalau tak mahu belajar, tak payah susahkan mak ayah belanja sekolah, pergi cari kerja lagi bagus,” bebelan cikgu Fatimah dan tanpa disedari buku nota ku melayang ke luar bilik darjah. Sekarang nota Biologi sudah ku siapkan. Ku renung hasil kerja ku dari pagi hingga petang… Yes!!! Aku yakin dapat pujian kali ini. 

Apa yang ku harapkan hanya tinggal impian. “ Fairus! Kalau dah tak tahu tu, bertanya. Jangan nak buat suka hati kamu. Lagak awak ni tak kena tempat.” Sekali lagi buku notaku melayang tapi kali ini tidak sekuat mana mungkin hanya kesalahan nota tidak lengkap. Terkebil-kebil biji mataku dibebel Cikgu Fatimah. Pujian yang ku nantikan herdikan yang ku terima Tiba-tiba pintu bilik darjah kami di ketuk. Semua pelajar memandang ke arah Marry, tukang sapu sekolah kami. Di tangannya ku lihat buku notaku yang berdebu. Rupa-rupanya buku itu telah melayang dan jatuh di atas sampah sarap yang sedang disapu Marry tukang sapu sekolah kami. Aku terus mengambil buku itu dengan diiringi renungan Cikgu Fatimah. Maluuuu… malu semalu malunya…..Itulah perasaan  bujangku yang tercabar. Rakan-rakan ku yang lain hanya mampu memandang dengan simpati. Di benakku tertanya, kenapa Cikgu Fatimah benci sangat dengan aku?..

Semasa sedang menunggu bas pulang dari sekolah, kawanku Arsyad mengingatkan tentang latihan bola sepak pada jam empat petang itu. Aku merupakan pemain penyerang pasukan bola sepak sekolah. Tahun lalu, aku telah merangkul gelaran penjaring terbanyak semasa mewakili pasukan sekolah di peringkat daerah. Aku juga telah terpilih menjadi salah seorang pemain pasukan negeri. Bola sepak adalah nadi hidupku dulu, kini dan selamanya. Boleh dikatakan hampir setiap petang aku akan ke padang sekolah untuk bermain dan berlatih bersama rakan sepasukan. Tahun lalu aku memang menumpukan sepenuh perhatian terhadap bola sepak maklumlah ‘honeymoon year..’ Bak kata orang putih.

Tahun ini aku akan menduduki peperiksaan besar SPM. Kata Cikgu Faezah, aku patut memberi tumpuan lebih kepada pelajaran. Kata Cikgu Aisyah, guru kaunseling sekolah ku semasa perhimpunan mingguan sekolah, tumpuan pada pelajaran perlu diberikan sepanjang masa terutama dalam kelas dan ia dilakukan secara berterusan. Kelas tambahan petang sebenarnya telah diberikan sejak tahun lalu bagi kelas sains. Tapi aku Cuma mampu menghadiri sepertiga kelas tambahan yang dijalankan kerana latihan bola sepak lebih mengujakan bagiku.


Bila terkenangkan kelas tambahan tahun lalu, baru ku ingat… Hari ini ada kelas tambahan Cikgu Fatimah jam tiga setengah petang. Tapi latihan bola sepak petang ini adalah untuk pemilihan wakil sekolah dan Cikgu Nasaruddin mahu merombak semula pasukan tahun lalu. Sepanjang perjalanan pulang aku memikirkan keputusan yang harus aku buat.. Biologi atau bola sepak…

JENG... JENG.. JENG.. APAKAH YANG AKAN TERJADI SELEPAS INI?? ADAKAH FAIRUS AKAN MEMILIH BIOLOGI ATAU BOLA SEPAK ????
NANTIKAN SAMBUNGANNYA ....


Rabu, 9 September 2015

IKHLASKAN DIRIMU...

Adoi... adoi.. adoi..

Pining ini kipala cikgu... Pagi tadi sakit perut.. sampai tandas, air pulak tak ada. Menggelabah balik rumah nasib baik jarak dalam 8km. Legaaa...

Masuk Bilik kaunseling belum sempat duduk dapat pulak watsap dari group kawan2 kaunseling... Alamak!!! kena buat balik tracer study SPM 2013 & 2014.. Hu  Hu  Hu.

Belum sempat buka Lap top.. Tup..Tup.. Dah datang minah nii. Bukan datang saja-saja nak jengok cikgu tau... ada la tuu. tum tam.. tum.. tam. sesi kaunseling dijalankan.. hampir sejam.. eh ada pulak dok terjengok2 bilik... eh minah yang tengah sesi kaunseling ni berat betul kesnya...  yang terjengok2 tuu pun ada hajat juga... maka cikgu pun buat temujanji dengan dia.. Sebab minah yang kes berat ni perlukan sesi yang seterusnya secepat yang boleh... So, hari ni punya cerita ... pening kepala sebab kes yang berat2 sahaja... dengan 3 sesi terus menerus... dan permulaan pagi yang tidak kondusif... Hal Tandas laa apa lagi.. Jangan dilupa along hari ni hari kedua UPSR...

Dah siap sesi.. baru lah dapat jenguk tracer study SPM 2013 dan 2014 untuk di pindahkan ke tapak baru... Pukul 9 malam baru dapat send email sebab baru siap... dengar khabar ada yang kena serangan jantung minor sebabkan data tracer study ni.. adoi..Adoi...Adoi.. Harga khidmat seorang guru..aka..cikgu. dah laa kengkawan pergi jengok dia lepas maghrib tadi di kecemasan.

Sorry, bahasa cikgu hari ini tidak tersusun... caca marba - kata orang. Selepas siap semua kerja, tugasan sekolah dan rumahtangga... tetiba terdetik difikiran. Ikhlaskah aku semasa berusaha melaksanakan semua tanggungjawab. 
Cikgu mengingatkan diri sendiri 'selagi bernyawa... selagi itu ada tanggungjawab yang perlu kita galas. Itulah amanah kita sebagai khalifah di muka bumi'. Ikhlaskan diri.. Akan datang Rahmat Allah kepada Kita.

Hasan al Bashri berkata;

“Dunia ini hanya terdiri atas tiga hari: Kemarin, ia telah pergi bersama dengan semua yang menyertainya. Besok, engkau mungkin tak akan pernah menemuinya. Hari ini, itulah yang kau punya, jadi beramallah di sana.”


Dalam maknanya, kalau ikut pandangan cikgu, kata-kata Hasan Al-Bashri nak ingatkan kita supaya berusaha menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas sebab itu akan jadi ibadah dan amalan kita. Rugi bagi sesiapa yang tidak merasakan tanggungjawabnya sebagai satu amalan @ ibadah kerana harinya akan berlalu bergitu sahaja dengan sia-sia. Maka tiadalah bertambah amalan yang boleh dibuat bekal menuju akhirat.


An Nisaa’ [4:77], bermaksud;

“Kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa, dan kamu tidak akan dianiaya sedikitpun.”

Cikgu pun teringat masa awal pagi tadi cikgu rasa marah sebab air tak de, terpaksa balik rumah. Kemudian, penat dengan kes2 pelajar yang mengganggu fikiran seketika.. Ada terkeluar keluhan2 berat dari mulut cikgu. Ada pulak kerja yang nak kena buat dua kali "tracer study" sampai keluar juga keluhan melampau... Tak Ikhlas ke Cikgu???

Ya Allah, sia-sialah kepenatan cikgu, kalau tak ikhlas sepanjang hari tadi... AMPUNKAN HAMBAMU INI YA ALLAH..




Ikhlaslah wahai diriku... AAmiin.




Selasa, 8 September 2015

ALONG PERIKSA UPSR

Assalamualaikum semua,


Hari ini tidak dapat nak sambung cerita semalam.. Sebab Cikgu sibuk ke hulu ke hilir. Kenapa??? Oh, anak cikgu yang sulung ambik periksa UPSR hari ni... Masa yang sama cikgu sibuk juga urus anak murid yang nak ambik SPM dan PT3 tahun ni... Pelajar SPM sedang percubaan dalam masa yang sama cikgu uruskan seminar untuk mereka supaya lebih berkeyakinan semasa menempuhi peperiksaan SPM yang sebenar (tinggal 55 hari je lagi). Penatnya hari ini,

Pagi tadi semasa perhimpunan pagi, sempat cikgu menyapa pelajar lelaki yang cikgu cerita semalam.. nampak lebih ceria hari ini. Cikgu tak dapat cakap lama dengan dia sebab cikgu perlu bersama anak cikgu (along) sebelum masuk dewan periksa.. ye la nak beri semangat hari pertama kann.. 

Kepada ibu bapa yang ada anak yang sedang mengambil peperiksaan UPSR, cikgu doakan anak anak kita akan dapat menjawab dengan baik dan mendapat keputusan yang cemerlang. Tapi ibu bapa perlu ingat ye... UPSR ini adalah pengalaman pertama anak2 kita, jangan beri tekanan kepada mereka dengan harapan yang menggunung tinggi. Yang penting berikan semangat. Biarlah mereka buat yang termampu dan terbaik yang mereka boleh. Allah jua tempat kita pohon ketentuan yang baik. Pergantungan pada Allah yang perlu kita sematkan pada anak2 kita disamping usaha mereka. 


Pengalaman cikgu hari ni bersama dengan ibu bapa yang lain semasa menghantar anak masing masing ke dewan periksa memang 'BEST'. Opp! ada cerita yang nak dikongsikan, ye ada seorang murid yang nak ambik periksa UPSR ni ( calon cemerlang) tidak di hantar oleh ibu dan ayahnya... Sedih tak agaknya.. saat nak periksa, ibu bapa kawan2 datang beri semangat, tetapi dia tidak. kalau kita tak kenal tentu sedihkan dengar cerita, tapi ceritanya tidak begitu. Dia nampak cekal, malah ramai yang hantar dia... Kawan ibu dan ayahnya datang menghantar serta guru-guru banyak membantu memberi perhatian. Ibu bapa yang ada juga turut sama. Oh ya, ayah dan ibunya bukan sengaja tidak menghantar tetapi mereka telah berangkat ke tanah suci untuk menunaikan Haji. Ayah dan Ibu murid ini juga disegani kerana kewaraqkan mereka. Malah pelajar ini turut memiliki kepimpinan (ketua pelajar) dan sahsiah yang baik (Qari dan Muadzin di sekolah).

Ini antara cerita golongan yang meletakkan pergantungan mereka pada Allah... Jauh meninggalkan anak beribu batu dalam keadaan nak mengambil peperiksaan. Ditinggalkan pula bersama rakan bukan kaum keluarga kerana faktor jarak sekolah yg dekat dengan rumah. Sedangkan ada yang tiada halangan apa2 masih menangguh pemergian ke tanah suci, ada pula mencari alasan anak kecil, anak nak periksa sebagai sebab tertanguhnya niat ke tanah suci.. Allahu Rabbi..

Marilah kita sama2 merenung berapalah tingginya kepergantungan kepada Allah... 

Wallahua'lam.


Isnin, 7 September 2015

ASSALAMUALAIKUM

Alhamdulillah... September 2015.. cita-cita untuk memiliki blog sendiri tercapai juga akhirnya. Terima kasih kepada yang memberi dorongan secara langsung atau tidak langsung (Nur Haiza Che Mat - Blog awak inspirasi saya). Tahun 2013 dah pernah buat satu... tapi tidak seperti yang dirancang.

Opp, sebelum terus menerus menulis izinkan saya membahasakan diri ini dengan panggilan cikgu.
Kenapa panggil 'cikgu'? Sebab apabila sekali jadi cikgu sampai bila-bila pun akan jadi cikgu. Tak percaya? Cuba kita renungkan, cikgu tadika kita yang dah 10 tahun tak jumpa, kita pangil dia siapa? cikgu kita yang pencen 10 tahun pun orang kampung panggil apa? Sampai tahap dah jadi arwah pun cikgu tetap dipanggil cikgu.. Betapa mulianya menjadi seorang cikgu @ guru.


Sudah lebih 16 tahun cikgu bertugas sebagai kaunselor pelajar @ guru bimbingan & kaunseling Sekolah Menengah... seperti biasa hari ini selepas siap email 'stacer study SPM 2013 & 2014' cikgu dijengah seorang pelajar lelaki. Sebenarnya, 2 / 3 minggu lalu cikgu cuba merapatkan diri dengan pelajar ni, ye lakan asyik dengar cerita yang sedih kadang kadang nakal (dari pihak lain) bagi cikgu mesti ada sebabnya.

Nak tahu, dalam masa cikgu cuba memahami watak dan sikapnya, dia beberapa kali telah melakukan kesalahan (bagi cikgu dia sengaja berperangai nakal). Mungkin cikgu asyik tegur dia dan senyum2 kambing pada dia, maka hari ini dia datang jenguk cikgu di bilik kaunseling.

Di ringkaskan cerita hari ini, dia datang bukan dengan tangan kosong tetapi singgahnya bermakna... dia hulurkan borang sijil BERHENTI SEKOLAH. Puas cikgu renung mukanya, dia tunduk. cikgu pun mulakan prosedur sesi kaunseling ........... hampir 1 jam.

Apa agaknya yang akan terjadi kepada pelajar ini ye??? Cikgu megharapkan pelajar ini dapat memikirkan potensi sebenar dan apa yang sepatutnya dia lakukan untuk mendapatkan kegembiraan dalam hidupnya.

Cikgu telah menggunakan pendekatan  Psikologi  Individu Alfred Adler.. (satu teori yang sangat cikgu suka).. Mungkin yang singgah membaca blog ni nak tahu bagaimana pendekatan 'Teori Adler' ini dapat membantu...

Tunggu ye... nanti cikgu ceritakan..