Disini bermula sebuah cerita...

Disini bermula sebuah cerita...

GALLBLADDER STONE / BATU HEMPEDU

Assalamualaikum W.B.T

Lama rasanya jari jemari tidak bermain di keyboard untuk kongsi cerita di blog ini..Cikgu tak tahu nak mula cerita daripada mana. Kesan  pembedahan masih terasa ngilu.

Alhamdulillah dilakukan secara Laparoskopik. Cikgu tak pernah cerita sebelum ini, sebenarnya cikgu ni memang selalu sangat sakit perut, angin sejak zaman cikgu sekolah menengah. Ada juga rasa macam perut kembung. Bila jumpa doktor,selalu dapat ubat angin dan gastrik ( ubat putih yang rasa ubat gigi tu). 

Fakta - fakta kesihatan berkaitan penyakit batu hempedu yang cikgu tambah adalah diperolehi dari petikan Laman Kesihatan di internet. Sumber Maklumat adalah daripada Dr. Abd Hamid Mat Sain (Pakar Runding Bedah Am dan Laparoskopik, Columbia Asia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan)


PERMULAAN SAKIT PADA TAHUN 2012

Sejarah cikgu rasa sakit 'Gallbladder Stone' ni bermula pada tahun 2012 sebenarnya. Tapi cikgu tak tahu simptom penyakit ni... Nama Penyakit pun macam tak ambil tahu. Masa tu cikgu Mengandungkan anak yang ke-5 Nurul Iffah. Sekarang Iffah dah 3 tahun. Kalau nak diceritakan sakit 'perut kembung' masa tu macam perut terik - tegang hingga nak bernafas pun susah. Sakitttt sangat. Satu satu malam lamanya. Selepas sapu minyak angin ANUGERAH baru reda sedikit sakitnya. Mulalah perut cikgu makin kembung dan banyak angin. Pinggang pun rasa sakit tidak gagah macam dulu-dulu. dalam fikiran badan banyak angin sebab anak pun dah ramai.

Kali ke dua serangan teruk berlaku lagi masa tu kandungan cikgu dah agak besar masa tu raya puasa (aidil fitri). Kecoh la family mertua, ingat cikgu salah makan atau banyak minum air batu. Tapi kali ni sakit lama sikit... satu hari satu malam. Siap muntah-muntah lagi. Tuam air panas la.. Minum air suam semua tak jalan... sampai cikgu menyerah suruh hantar hospital. Tapi ye la kan semua orang pun tak ada pengalaman sakit ni... tidak terjangkau oleh fikiran itu adalah simptom penyakit batu hempedu. ialah nama penyakit pun tidak ada dalam kamus ingatan cikgu. Akhirnya keesokan pagi sakit semakin reda. Di pendekkan cerita habis cerita sakit perut kembung tahun 2012. 

Dalam masa yang sama cikgu sangat tidak selesa dengan keadaan diri cikgu... Bila masuk makanan je, terus perut kembung, rasa senak semacam. angin banyak asyik sendawa.. tapi perut tidak juga lega. Satu hari terlintas untuk jumpa doktor bila dah tak tahan asyik senak perut aje hingga ke dada anginnya.. macam-macam jenis penyakit cikgu bayangkan.


Di bawah ni, cikgu bagi sikit maklumat simptom yang mungkin di alami oleh orang yang ada batu hempedu (gallbladder stone) untuk rujukan semua.

(TULISAN YANG BERWARNA MERAH ADALAH YANG CIKGU ALAMI)


SIMPTOM-SIMPTOM

1. Rasa senak yang kronik yang ditandai dengan rasa mual, angin, kembung perut dan kadangkala sakit di bahagian abdomen.

2. Kesakitan yang datang secara tiba-tiba, konsisten dan sederhana bertukar menjadi kesakitan yang teramat sangat di bahagian tengah dan kanan atas abdomen. Rasa sakit itu mungkin berlaku selama satu hingga dua jam selepas makan tetapi ia juga boleh terjadi pada waktu malam. Selalunya rasa sakit itu memakan masa dari 15 hingga 30 minit ke beberapa jam. Sakit batu karang hempedu bermula di bahagian tengah dan kanan atas abdomen dan pada waktu-waktu tertentu, ia akan menular ke belakang atau bahu kanan. Selepas rasa sakit berkurangan, seseorang itu mungkin mengalami rasa sakit yang sederhana atau kesakitan di bahagian atas abdomen selama satu hari atau lebih. Serangan batu karang hempedu tidak menentu, ia boleh mengambil masa selama berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya.

3. Loya dan muntah. Kadangkala, batu karang hempedu terperangkap di pangkal pundi hempedu dan mengakibatkan rasa sakit yang berterusan atau mengalami demam panas. Apabila ini berlaku, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan segera. Ada kalanya batu karang hempedu terlepas dari pundi hempedu dan masuk melalui kuktus dari hati dan pundi hempedu ke usus kecil. Ia juga boleh masuk melalui duktus yang menghala ke pankreas.

4. Jika anda mengalami satu atau lebih simptom halangan duktus hempedu - sakit di bahagian abdomen, wana kekuningan di kulit dan warna putih di mata (jaundis), air kencing yang gelap dan demam panas dan sejuk, sila dapatkan rawatan kecemasan


MAC - JULAI 2015

Kisah cikgu di kenalpasti menghidap gallbladder stone bermula ...

Lepas minum pagi pukul 10, cikgu rasa senak kat dada.. mencucuk pun ada.. ulu hati panas.. abdomen rasa tak selesa. Bila teringat cikgu-cikgu yang meninggal di sekolah kerana sakit jantung.. fikiran mula cemas. 

Cikgu minta izin daripada pentadbir untuk ke Klinik Feisal di Bandar Rompin untuk check-up (klinik yang paling popular di Rompin dan memiliki kelengkapan perubatan yang baik). Cikgu minta diuji semua penyakit yang mungkin dengan keadaan cikgu yang tidak selesa. Alhamdulillah pemeriksaan doktor mengesahkan cikgu tiada penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Melalui cerita cikgu tentang sakit sejak tahun 2012, doktor minta cikgu untuk di scan. Ujian ultrasound pun dilakukan... dan jawapannya... jeng-jeng-jeng doktor kata dia nampak banyak batu dalam pundi hempedu. Itulah Gallbladder stone..@ Batu Hempedu. Dr. Rusilah mencadangkan cikgu berjumpa pakar di HTAA untuk rawatan lanjut. 

Diringkaskan cerita...

Proses rawatan pun bermula dari hari ke minggu ke bulan berulang alik Rompin  ke Kuantan.. (4 bulan lamanya).. barulah pakar confirm dan buat appointment pembedahan yang dijadualkan dalam 3 bulan kemudian ( 8 September 2015). Itu adalah tarikh yang paling awal booking. Tetapi selepas seminggu baru cikgu sedar yang tarikh pembedahan adalah tarikh along anak cikgu periksa UPSR. Cikgu cadang nak buat penangguhan... namun bila teringatkan kaedah rawatan yang panjang dan prosedur endosckopic (masuk kamera) masih menjadi trauma. Apa tidaknya... sakit, 2 hari lepas rawatan masih susah nak menelan. Maka cikgu mengambil keputusan untuk buat pembedahan di KPJ Kuantan - cadangan Dr. Rusilah di Klinik Feisal (dalam appointment semula untuk consult). 

Ini adalah gambar rajah  contoh yang menunjukkan kedudukan gallbladder dan gallstones dalam tubuh seseorang yang menghidapi penyakit Gallbladder stone 

24 OGOS 2015

Pertemuan pertama dengan Dato' Dr Ngun emmm.. doktor yang cool... meyakinkan. atas cadangan DR Rusilah ( Klinik Faisal Kuala Rompin) Dr Ngun scan... (masa tu cikgu 'puasa') dr tanya lagi... awak puasa tak? masa tu dia tak cakap apa2 cuma nampak ada la batu hempedu tu dan cikgu di hantar ke pakar scan.. Dr perempuan, ala tak ingat pulak namanya. 

Bila tanya doktor semasa scan, kenapa rasa sakit? rupanya itu geseran batu dengan dinding hempedu - selepas 3 tahun baru tahu.. Dr pakar tu kata batu sudah memenuhi 2/3 pundi hempedu sehingga puasa pun pundi hempedu tidak kembang.. faham-faham je la... kurang berfungsi dah hempedu cikgu.. Nak tahu fungsi Hempedu...Baca di info Bawah


FUNGSI HEMPEDU

Hempedu bertindak sebagai agen pembaur lemak yang dimakan. Cecair hempedu dihasilkan oleh hati dan disimpan sementara waktu di dalam pundi hempedu. Hempedu penting dalam proses penghadaman lemak makanan. Pundi hempedu pula bertindak sebagai tempat simpanan hempedu

Biasanya seseorang yang mengalami masalah batu hempedu mempunyai pundi hempedu yang kurang berfungsi. Pundi berkenaan tidak dapat mengecut dan mengeluarkan jus hempedu di dalamnya, mengakibatkan stasis atau jus hempedu bertakung di dalam pundi berkenaan. Hempedu yang bertakung tersebut akan menjadi lebih likat dan akhirnya boleh membentuk kristal. Dalam keadaan ini, pundi hempedu mestilah dibuang bersama-sama dengan batu di dalamnya untuk mengelak simptom tersebut berulang

SIMPTOM BATU DALAM HEMPEDU

Di antara tanda-tanda penyakit radang pundi hempedu adalah sakit perut atau senak pada bahagian sebelah kanan badan di bawah tulang rusuk. Ia boleh merebak hingga ke belikat sebelah kanan. Kesakitan tersebut biasanya berlaku selepas pengambilan makanan berlemak yang berlebihan. Bagaimanapun, tidak semua individu yang mempunyai batu hempedu mengalami simptom tersebut


Ada 2 jenis kesakitan yang disebabkan oleh batu hempedu:

1. Kesakitan biliari kolik (biliary colic) yang dirasai selepas mengambil makanan berlemak disebabkan oleh pergeseran batu berkenaan dengan dinding pundi hempedu, kerana pundi hempedu akan mengecut untuk mengeluarkan jus hempedu ke dalam usus untuk menghadamkan lemak. 

2. Untuk simptom radang pundi hempedu pula, kesakitan yang dialami disebabkan bengkak pada pundi hempedu akibat pangkal pundi hempedu yang tersumbat oleh batu di dalam pundi tersebut. Kesakitan yang dialami adalah lebih teruk berbanding dengan biliari kolik.

FAKTOR-FAKTOR RISIKO

1. Wanita di antara umur 20 dan 60 tahun lebih berisiko untuk menghadapinya dua kali ganda lebih daripada lelaki. 

2. Sewaktu indeks jisim tubuh (BMI) meningkat, risiko anda untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu juga meningkat. 

3. Diet yang berkalori rendah dan menghilangkan berat badan dengan cepat akan mengganggu sistem kimia, menyebabkan pundi hempedu anda kurang mengecut sekaligus meningkatkan risiko anda menghidapi penyakit batu karang hempedu. 

4. Kebarangkalian anda menghidapi penyakit batu karang hempedu turut meningkat seiring usia anda.


JENIS-JENIS BATU KARANG HEMPEDU


1. Batu karang hempedu berkolesterol. Batu-batu karang yang berwarna kuning mengandungi kolesterol yang tidak terlarut, walaupun ia mungkin mengandungi komponen-komponen lain seperti kalsium dan bilirubin (sisa sel darah merah yang lemah). Sebanyak 80% batu karang hempedu adalah batu kolesterol

2. Batu karang hempedu berpigmenBatu-batu kecil berwarna coklat gelap atau hitam terbentuk apabila terdapat terlalu banyak bilirubin. Ia boleh dihidapi oleh mereka yang mengalami sirosis, jangkitan trek biliari dan anaemia sel sikel yang menghasilkan bilirubin secara berlebihan. 

3. Batu karang hempedu duktus primer. Batu-batu ini akan terlepas ke dalam duktus nanah anda dan membentuk duktus itu sendiri. Walau bagaimanapun, batu karang jenis ini agak jarang berlaku

Ok, semasa membaca pastikan yang cikgu buat tulisan merah tu la yang cikgu alami... Kepada sesiapa yang ada simptom dan jenis yang berisiko cepat-cepatlah jumpa doktor jangan tunggu sakit dah teruk. 

Appoinment pembedahan dibuat... yang penting selepas along periksa UPSR. So tarikh pembedahan pada 21 September 2015. Hari Isnin



21 SEPTEMBER 2015

Pengalaman pertama menjalani pembedahan... Sedih ada cemas pun ada... Macamana semasa pembedahan... Macamana keadaan cikgu nanti selepas hempedu dibuang Persoalan yang silih berganti.. Sebelum Hari Pembedahan Cikgu sempat beberapa kali menelefon emak cikgu.. Minta ampun, doanya dan redhanya. Kepada semua kawan-kawan cikgu mohon ampun dan maaf, bayar hutang yang ada. Sudah tentu sebelum masuk dewan bedah... Mohon Ampun dan redha Suami.

Pembedahan Laparoskopik akan di jalankan ke atas perut cikgu: Macam gambar kat bawah ni... Tu bukan gambar cikgu... gambar tu cikgu ambik dari internet.. tapi macam tu la prosedur pembedahannya..


Macam ni lah lebih kurang pembedahan yang dibuat ke atas cikgu..

Ini gambar jarak dekat, emmm... ngilu pula rasa perut cikgu bila tengok gambar ni... Tapi semasa pembedahan laparoskopik cikgu dibius penuh... ditidurkan...

Lebih kurang 2 1/2 jam pembedahan dijalankan dari 9.30 pagi hingga 12.00 tgh, akhinya cikgu dikejutkan oleh suara-suara nurse yang memanggil nama cikgu berulang kali. Mata dan mulut memang tak boleh buka, tapi cikgu boleh angguk kepala respon kat panggilan nurse. Lepas tu, terus tak sedar semula sehingga ke petang dalam pukul 3.30 ptg. Bila cikgu sedar, suami cikgu setia menunggu. Masa tu cikgu cuma boleh buka mata tapi tak boleh bercakap mulut cuba juga nak panggil suami tapi suara tak keluar. Luka di perut memang terasa sakit. Doktor memang suruh cikgu  teruskan puasa sehingga malam dan hanya boleh minum sikt sahaja hingga esok. Selepas Suami bantu cikgu solat Jamak Zuhur dan Asar, Suami cikgu terpaksa balik sebab anak2 cikgu yang kecil-kecil masih perlu perhatian. Alhamdulillah katil sebelah dah ada penghuni maka adalah teman cikgu malam tu. Syukur tak terhingga kerana Diana (Kakak Nadia - pesakit sebelah katil) berpengalaman kerana pernah menjalani 7 pembedahan major akibat kemalangan. Dia banyak membantu cikgu untuk bangun ke tandas dan mengambil wudhuk untuk solat. Diana banyak membantu cikgu kurangkan risau tentang sakit dan keadaan yang tidak selesa melalui pengalamannya. Terima Kasih Diana.


Cikgu Baru Balik Dari Bilik Bedah- belum sedar lagi

Inilah 9 biji batu yang di keluarkan bersama hempedu Cikgu... saiznya besar sikit dari lada hitam ada yang sama betul macam lada hitam


27 SEPTEMBER 2015

Alhamdulillah, sudah 7 hari pembedahan dijalankan. Keadaan cikgu beransur pulih seperti sediakala cuma masih makan bubur nasi. Cikgu ada cuba makan nasi... Perut cikgu jadi tidak selesa... Cikgu juga  perlu menghabiskan antibiotik dan doktor ada membekalkan Fybogel (sejenis Fiber) sangat membantu dalam penghadaman. Masa 3 hari pertama cikgu tidak lawas buang air besar.. selepas mengambil fybogel, baru lega. Bila hari 5-7 pula cikgu mula kerap ke tandas selepas makan dan agak senak perut.. fybogel membantu mengurangkan keadaan tidak selesa itu... Alhamdulillah.

MACAMANA KALAU CIKGU TIDAK MENJALANI PEMBEDAHAN BUANG BATU HEMPEDU ??? APA AKAN TERJADI KEPADA CIKGU???

INSYA ALLAH cikgu akan sambung cerita dalam entri selepas ini... Apakah penyakit dan kesan dari Batu Hempedu jika tidak di buang...

Tiada ulasan: